Halaman

Selasa, 18 Mei 2010

Pengujian, Pentaksiran dan Penilaian

1.0 PENGENALAN

Guru merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid. Guru bertanggungjawab menentukan hasil pembelajaran yang hendak ditaksir, diuji dan dinilai. Guru juga merancang dan membina instrumen penilaian, mentadbir ujian, merekod hasil penilaian, menganalisis maklumat, melapor dan menjalankan tindakan susulan yang perlu seperti aktiviti pengukuhan, pengayaan dan pemulihan.

Ujian ialah satu kaedah, tugas atau prosedur yang digunakan untuk memperoleh pemerhatian yang sistematik tentang sifat, atau trait seseorang berhubung dengan aspek pendidikan atau psikologi (Mokhtar Ismail, 1995). Ujian penting dalam memperlihatkan kejayaan atau kegagalan calon dalam sesuatu peperiksaan. Selain itu ujian juga berfungsi untuk memilih dan menempatkan calon dalam kumpulan pelajar tertentu serta mengenal pasti kelemahan-kelemahan pelajar.


Pentaksiran pembelajaran pelajar merupakan aktiviti yang penting dalam pendidikan. Kubiszyn dan Borich (1996) telah mentakrifkan pentaksiran pembelajaran pelajar sebagai suatu proses pengumpulan data-data pembelajaran pelajar untuk tujuan mengenalpasti masalah pembelajaran pelajar, serta untuk membuat keputusan mengenai pelajar. Shambaugh dan Magliaro (1997) pula menyatakan bahawa pentaksiran pembelajaran pelajar boleh dilaksanakan atas pelbagai tujuan, seperti untuk mengesan penguasaan pelajar, mengesan kemajuan, menentukan penempatan, mengesan kelemahan pelajar (diagnosis), memberi gred, membuat klasifikasi, pensijilan dan pemilihan.


Dalam pada itu, mereka berpendapat setiap tujuan pentaksiran pelajar perlu mempunyai kaedah pengukuran dan atribut yang sesuai untuk menghasilkan keputusan pentaksiran yang sahih serta boleh dipercayai. Pentaksiran untuk mengesan prestasi pembelajaran pelajar misalnya, apabila dilaksanakan dengan sahih dan betul boleh memberi manfaat kepada pelajar serta pengajar. Antara kebaikannya ialah pelajar dapat mengetahui kedudukan pencapaiannya dan akan berusaha untuk meningkatkan prestasi pembelajarannya secara kawalan kendiri. Guru juga boleh mengetahui prestasi pencapaian pelajarnya serta keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan ini guru dapat memperbaiki strategi penyampaian bahan-bahan pengajaran dan merancang tindakan susulan seperti menyediakan bahan-bahan pengayaan, pengukuhan atau bahan pemulihan yang bersesuaian dengan keadaan pelajar.



Rajah 1: Perkaitan antara Pengujian, Pentaksiran dan Penilaian


Oleh yang demikian, di dalam tugasan ini fokus perbincangan akan menjelaskan konsep pentaksiran, pengujian, dan penilaian berdasarkan teori Taksonomi Bloom dan Domain Krathwohl. Jenis-jenis ujian dan penilaian juga akan disentuh secara ringkas yang biasanya dijalankan dalam konteks dunia pendidikan khususnya berkait dengan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Selain itu, penghasilan JSU mengikut item objektif dan item subjektif Bahasa Malaysia sekolah rendah Tahap Dua dengan format peperiksaan terkini juga akan dijelaskan di dalam tugasan ini.



2.0 KONSEP PENTAKSIRAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN

2.1 Pentaksiran
Kini istilah “pentaksiran” mula digunakan dalam penilaian pencapaian. Popham (2000) menyatakan istilah-istilah pengukuran, pengujian dan pentaksiran digunakan secara silih berganti dan dianggap sebagai sinonim. Pentaksiran melibatkan proses membuat keputusan berdasarkan kepada suatu peraturan atau piawaian. Pentaksiran, yang merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran, merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran seseorang pelajar bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000). Hasil pentaksiran dinyatakan dalam bentuk skor. Skor mestilah sah dan boleh dipercayai untuk memastikan keadilan kepada pelajar dan juga untuk mengekalkan kewibawaan institusi pentaksiran.

2.1.1 Konsep

Satu proses untuk mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman tentang produk (murid) sesuatu proses pendidikan.

2.1.2 Tujuan

Proses mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam pembelajaran.Menilai aktiviti yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran.Mendapatkan maklumat secara berterusan tentang pengajaran dan pembelajaran.Memperbaiki pengajaran dan pembelajaran.

2.1.3 Ciri-ciri

Keobjektifan (ketepatan seseorang pemeriksa memeriksa skrip jawapan).Kebolehtadbiran (kelicinan dan kerja-kerja susulan yang dilaksanakan secara berpusat atau berasaskan sekolah).Kemudahtafsiran (maklumat tentang calon berdasarkan skor, mendiskriminasikan calon, menepati tujuan mengadakan sesuatu ujian dan pentaksiran).Kekomprehensifan (mengandungi soalan-soalan yang mewakili semua objektif yang penting).


2.2 Pengujian

Antara ketiga-tiga istilah berkenaan, pengujian selalunya dianggap mendukung maksud yang lebih sempit atau khusus. Pengujian dapat dianggap sebagai proses penyerahan set soalan yang piawai yang perlu dijawab, atau satu set instrumen bersama satu prosedur yang sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar. Menurut Cronbach (1970),
“Ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah
laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan bantuan skala bernombor, atau
satu sistem yang berkategori”.
Contoh skala bernombor ialah angka 30/100 untuk ujian penglihatan, 100/120 untuk ujian kecerdasan (IQ Test) dan 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains. Manakala contoh sistem berkategori pula ialah “ekstrovert” atau “introvert” bagi ujian personaliti, atau “rabun warna” bagi ujian penglihatan. Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar seperti yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros 1981, (dipetik dari Raminah, 1991) yang menegaskan bahawa:
“Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan
oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperoleh
daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan”. (Raminah
1991:2).

Hasil daripada pemarkahan jawapan pelajar, satu ukuran yang disebut sebagai “markah” akan diberikan kepada pelajar tersebut. Pengujian menjelaskan tahap berapa baiknya prestasi pelajar yang diuji. Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan/pentadbiran ujian dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui pengujian inilah seseorang guru mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah menguasai pengetahuan, kemahiran atau sikap yang ingin disampaikan guru.

Kesimpulannya, pengesanan hasil pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat melalui pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat, yang dilaksanakan guru dalam bilik darjah. Justeru, kecekapan guru membangunkan alat pengujian amat penting, malah sama pentingnya dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

2.2.1 Konsep
Satu teknik untuk mendapatkan maklumat secara objektif dan bersistem untuk mengukur perubahan tingkah laku individu.

2.2.2 Tujuan
Memperolehi maklumbals pengajaran dan pembelajaran. Memasukkan murid dalam kumpulan tertentu mengikut kriteria. Memilih murid untuk sesuatu tugas.
Mengkategorikan murid. Menyelidik pengajaran dan pembelajaran murid.

2.2.3 Pelaksanaan
• Pemerhatian
• Ujian bertulis
• Ujian lisan

2.3 Penilaian

Penilaian adalah konsep yang telah digunakan dalam pelbagai bidang. Penilaian dilakukan kerana mempunyai matlamat tersendiri. Dengan mengadakan penilaian, ia akan membolehkan kita membuat anggaran, sama ada matlamat yang telah ditetapkan itu tercapai atau sebaliknya. Penilaian juga dapat dianggap sebagai satu cara untuk mendapatkan bukti yang tepat tentang sesuatu perkara. Maklumat dan bukti ini amat penting dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Misalnya, dalam pendidikan, penilaian dapat menyelesaikan masalah tentang pencapaian matlamat yang ditetapkan, seperti menguasai kemahiran mendengar dan bertutur, membaca dan menulis Bahasa Malaysia di kalangan murid sekolah rendah. Dalam membuat penilaian, kita sering kali berhadapan dengan pelbagai masalah. Misalnya, tentang persoalan yang ingin diselesaikan, apakah bukti yang dianggapkan mencukupi atau bagaimana cara mendapatkan maklumat, siapa yang perlu mendapatkan maklumat dan sebagainya. Dengan memahami konsep pengujian, pentaksiran dan penilaian, guru akan dapat merancang langkah-langkah dengan lebih teratur dan sistematik bagi mendapatkan maklumat yang tepat. Banyak definisi telah diberikan kepada istilah “penilaian”.
"Penilaian boleh dianggap sebagai proses membuat pertimbangan atau keputusan dalam memberikan nilai, mutu, kualiti atau harga bagi sesuatu benda atau perkara. Stufflebeam et al. (1971:xxv) menyatakan penilaian sebagai “proses delineating, mencari dan memberikan maklumat yang berguna dalam mempertimbangkan alternatif-alternatif keputusan”.

Definisi ini melepasi maksud pengujian dan pentaksiran.
Gay (1985) berpendapat bahawa “penilaian ialah satu proses yang sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai”. Ini seterusnya membolehkan guru membuat pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran. Justeru, penilaian berbeza dengan pengukuran yang melibatkan hanya pemberian ukuran dalam bentuk nombor tertentu yang lebih bersifat kuantitatif. Sebelumnya, Popham (1975) menyatakan penilaian yang sistematik perlu mempunyai satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena pendidikan.

Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek hasil pengajaran dan pembelajaran dan juga hasil program pengajian berbanding matlamat asalnya. Dalam bilik darjah, apabila guru memberikan ujian, adakah guru berkenaan mengukur pencapaian pelajar atau menilai pencapaian pelajar? Dalam keadaan ini kita boleh mengatakan guru sebenarnya mengukur pencapaian pelajar melalui ujian yang dijalankan. Tindakan susulan guru ialah menilai ukuran pencapaian tersebut dengan menggunakan keputusan ujian itu bersama maklumat lain yang berkaitan. Selain menggunakan data kuantitatif, penilaian juga boleh dibuat dengan menggunakan data berbentuk kualitatif seperti yang diperoleh daripada pemerhatian atau temubual.

Justeru, penilaian boleh dibuat dengan menggunakan sama ada maklumat yang berbentuk kuantitatif, kualitatif atau kedua-duanya sekali. Dengan menggunakan maklumat kuantitatif, penilaian boleh dinyatakan dalam bentuk gred (seperti A, B, C, D atau E) bersama penjelasan nilainya (seperti cemerlang, kepujian, baik, lulus atau gagal). Sementara itu, penilaian yang menggunakan data kualitatif boleh dinyatakan dalam bentuk kualitatif juga, misalnya, Ali dapat melukis gambar kawannya dengan cepat, tepat dan bersih. Secara ringkasnya, penilaian meliputi tiga proses utama, iaitu menentukan ukuran, menganalisis ukuran dan menyatakan nilai/interpretasi ukuran.
Prosedur penilaian boleh dilaksanakan dalam lima peringkat seperti dalam Rajah 2 di bawah:


Rajah 2: Prosedur penilaian


Pentaksiran, pengujian dan penilaian yang dilaksanakan di sekolah adalah berdasarkan teori Taksonomi Bloom dan Domain Krathwohl.