Halaman

Selasa, 27 April 2010

Budaya Sekolah Cemerlang

Budaya Sekolah Cemerlang
Adalah harapan setiap pendidik untuk mencorakkan budaya yang cemerlang di kalangan pelajarnya, baik dari institusi sekolah menengah mahupun pusat pengajian tinggi. Berbagai langkah telah dirancang oleh pihak sekolah, ibubapa dan pelajar sendiri dalam usaha mempertingkatkan imej dan status sekolah di samping menyediakan suasana pembelajaran yang positif. Saya berpendapat jika suasana sekolah dapat dipertingkatkan ke tahap yang terbaik, maka secara langsung ia akan membina suatu pasukan pelajar yang lebih komited dan bertanggungjawab; biarpun pada hakikatnta banyak lagi faktor lain seperti pengaruh masyarakat yang mempengaruhi perkembangan pelajar secara keseluruhan. Saya percaya idea sekolah cemerlang akan menjadi misi perjuangan setiap pendidik. Dengan itu, adalah diharapkan encik Hilter boleh menyenaraikan sifat dan pendekatan sekolah cemerlang untuk rujukan bersama.


Pelajar yang berdisiplin

Pelajar yang berkualiti dapat mengikut semua peraturan sekolah yang ditelah ditetapkan oleh sekolah. Tidak melakukan sesuatu yang dilarang atau sengaja mencorakkan sesuatu perbezaan kononnya diri lebih istimewa dari pelajar lain. Ini termasuk cara berpakaian, jenis kasut, bentuk rambut. Pelajar yang tidak sudi mematuhi peraturan sekolah bukan sahaja membawa imej yang kurang baik terhadap dirinya, tetapi juga secara langsung akan pengaruhi rakan-rakan lain. Setiap apa yang ditunjuk secara lahiriah juga akan memberi kesan kepada suasana dan kesan pembelajaran dirinya. Jika diri kita belajar dengan pakaian yang bersih dan kemas, "mood" juga akan baik dan lebih senang kita mengingati sesuatu yang kita baca. Sebaliknya jika diri kita belajar dengan suasana budaya pelajar yang tidak berakhlak, semangat diri kita juga akan menjadi layu. Guru perlulah tegas untuk memastikan setiap pelajar bersikap baik. Keupayaan membenteraskan sebarang aktiviti yang kurang baik dan digantikan dengan aktiviti yang bermanfaat merupakan langkah pertama ke arah budaya sekolah cemerlang. Peranan membetulkan sikap dan menanam nilai moral bukan sekadar guru pendidikan moral mahupun guru disiplin tetapi ia merupakan tanggungjawa semua guru.

Misi keunggulan
Biarpun pencapaian akademik bukan perjuangan mutlak seseorang pelajar, tetapi pencapaian peperiksaan sekolah merupakan gambaran am terhadap kecemerlangan sesebuah sekolah. Setiap pihak termasuk guru dan ibubapa perlu membentukkan mentaliti "terbaik" di kalangan pelajar. Yang dimaksudkan terbaik bukan bermakna mereka berjaya mengalahkan pelajar lain tetapi keupayaan mengejar keputusan yang paling baik untuk dirinya mengikut potensi dan kekuatan diri. Mentaliti 9A perlu ditanam agar mereka boleh mencurahkan usaha dengan lebih bersungguh-sungguh. Biarpun diri mereka gagal mencapai 9A, setidak-tidaknya mereka tidak berusaha memperjuangkan yang terbaik.

Kesedaran dan motivasi pelajar
Harapan untuk memasuki universiti dan pusat pengajian tinggi perlu ditanam di minda setiap pelajar. Bila kesedaran wujud bahawa apa yang mereka lakukan akan memberi kesan positif terhadap kebahagian hidup masa depan, pasti budaya belajar akan wujud. Sessi motivasi beberapa minit sebelum cikgu memulakan pengajaran dalam kelas akan memberi kesan yang amat baik jika ia diteruskan sepanjang tahun oleh semua guru. Setiap guru dan ibu bapa perlu sentiasa mendorong pelajar untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Cerita motivasi dan ayat-ayat hikmah boleh diberi agar pelajar dapat menghayati sesuatu idea motivasi dengan lebih berkesan. Sessi kesedaran pelajar juga boleh dikendalikan oleh kelab kaunseling dan bimbingan sewaktu perhimpunan. Kem ketahanan diri dan seminar motivasi merupakan aktiviti yang utama dan perlu diakerapkan jika kita hendakkan memperbaiki budaya sekolah.


Aktif dalam bidang sukan dan kokurikulum
Sekolah cemerlang juga menunjukkan pencapaian yang baik dalam aktiviti sukan. Kemudahan alatan sukan serta perhatian guru bertugas terhadap kebajikan pelajar dalam aspek ini merupakan antara dorongan pelajar untuk mengenengahkan bakat diri. Dalam kebanyakan masa, pelajar tidak berminat bukan bermakna mereka tidak mempunyai bakat untuk melakukannya. Dengan kata-kata dorongan dan pujukan dari cikgu, pelajar akan berjaya dalam sesuatu bidang yang sebelum ini tidak diberi perhatian. Guru yang dedikasi akan menganggap kejayaan pelajar sebagai kejayaan dirinya dan sentiasa memberi perhatian yang terbaik kepada mereka. Guru perlulah sentiasa membangun ketrampilan diri dalam bidang sukan mahupun kokorikulum yang mereka jaga. Dengan itu, pelajar dapat diberi bimbingan yang sebaik-baiknya. Adalah lebih baik jika setiap guru mempunyai semua seni sukan dan tidak membebankan beberapa orang guru yang "berbakat". Usaha memperbaiki diri dan mencari ilmu merupakan suatu proses yang berpanjangan. Sudah sampailah masa kita mencorakkan pasukan pendidik yang multi-kebolehan (di samping pengkhususan dalam bidang pengajaran tertentu) agar perhatian yang menyeluruh kepada perkembangan pelajar secara keseluruhan.

Persekitaran sekolah yang ceria
Suasana yang indah serta bersih pasti merupakan taman pembelajaran yang selesa dan baik. Pelajar digalakkan menjalankan aktiviti gotong-royong untuk membantu sekolah menghiasi serta membersihkan sekolah. Projek menyumbang bunga boleh diusahakan oleh pelajar , ibu bapa atau guru. Keceriaan dalam bilik darjah juga mempengaruhi psikologi pembelajaran pelajar. Ketua tingkatan perlu memimpin rakan sekelas dalam usaha menghiasi kelas masing-masing. Pertandingan kelas tercantik, terbersih dan terkotor akan mendorong setiap kelas membentuk budaya cemerlang dalam kelas. Ketua tingkatan perlu mendapatkan maklumat yang bernilai terhadap pembelajaran dari suratkhabar untuk dilekatkan pada papan kenyataan.

Kelas-kelas tambahan

Rekod telah menunjukkan sekolah yang sering mengadakan kelas tambahan untuk pelajar akan membentuk suatu menteliti "serius" terhadap sesuatu matapelajaran. Keputusan sekolah secara keseluruhan juga akan menjadi lebih baik. Ramai pelajar tidak mempunyai penumpuan yang menyeluruh dan kekurangan dorongan untuk mengulangkaji. Tetapi jika pihak guru menunjukkan komitmen serta dedikasi yang sepenuh hati untuk memberi yang perhatian terbaik kepada pelajar dengan mengadakan kelas-kelas tambahan, sudah pasti pelajar akan merasa kepentingannya. Pengorbanan cikgu dari segi masa dan tenaga tidak semestinya mendapat ganjaran yang sejajarnya mahupun penglibatan secara menyeluruh dari pelajar, tetapi usaha sedemikian adalah suatu yang positif untuk pembangunan kecemerlangan sekolah. Di samping itu, sessi menjawab soalan tahun lalu dan kumpulan belajar berkelompok waktu petang atau malam (sekolah berasrama) akan juga secara langsung membina kesungguhan dikalangan pelajar.

Ujian yang kerap
Bila pelajar diberi ujian yang kerap, diri mereka akan mula merasa cemas jika sesuatu tajuk yang akan dinilai belum lagi mereka baca. Ramai pelajar tidak dapat merasa kritikal terhadap peperiksaan PMR atau SPM. Jika sikap seperti ini berterusan , maka apa yang mereka tidak faham atau tidak ingat akan dibawa sehingga saat peperiksaan akhir tahun dan dapati dirinya dalam keadaan yang tertekan.
Dengan mengadakan ujian mingguan atau bulanan, pelajar akan lebih terdorong untuk mengisi setiap detik wakti sekolah untuk mengulangkaji. Waktu menunggu loceng sekolah, waktu rehat dan waktu menunggu kehadiran cikgu merupakan masa yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar jika mereka diberi ujian. Adalah suatu hakikat pelajar yang malas dan tidak mengulangkaji boleh dibangun dari lamunan mimpi mereka jika budaya membaca disekolah dipertingkatkan.

Budaya membaca di kawasan sekolah
Slogan diri yang saya sering pegang sewaktu diri di sekolah menengah dahulu ialah, "banyak membaca , kurang bercakap". Tetapi slogan ini tidaklah berkesan pada segelintir pelajar yang tidak mempunyai kecenderungan dalam pelajaran. Dengan adanya budaya membaca dan mengulangkaji, harapnya pelajar akan mula sedarkan diri. Budaya pelajar "memegang buku rujukan" setiap masa mereka dalam kawasan sekolah akan memberi suatu kesan yang positif terhadap keputusan pelajar. Daripada membuang masa berborak kosong atau bermain bola selama berjam-jam di bawah matahari terik, pelajar yang cemerlang menggunakan masa lapangnya dengan membaca.

Sering adakan pertandingan
Pertandingan boleh diadakan pada dalam kelas mahupun antara tingkatan atau antara persatuan. Tujuan pertandingan ialah untuk mengasah bakat serta mengenengahkan sesuatu kepakaran pelajar yang sekian lama terpendam. Antara pertandingan termasuklah pertandingan pementasan, menyanyi, bermain alatan musik, syarahan , perbahasan, sukan, merentas desa dan sebagainya. Pelajar digalakkan menyertakan diri biarpun mereka tidak mempunyai kebolehan untuk melakukannya. Pelajar cemerlang juga dikaitkan dengan keupayaan serba boleh.

Wawasankan pelajar akan berjaya

Pihak pendidik yang mempunyai harapan bahawa setiap individu pelajar akan berjaya suatu masa merupakan suatu pendorong untuk terus membimbing mereka; biarpun pada hakikatnya berhadapan dengan berbagai tekanan yang negatif. Contohnya, pelajar yang degil dan tidak berakhlah juga memerlukan perhatian dan penghotmatan sebagai seorang "manusia". Daripada kita terus melepaskan tangan dan menyatakan bahawa pelajar tersebut memang tidak boleh diubati, pendidik yang dedikasi masih juga cuba untuk membantunya. Asuhkan dan betulkan sikap yang kurang baik tetapi sebaliknya masih menjunjung maruah dan keperibadian dirinya. Seseorang yang nakal mungkin akan menjadi seorang yang sangat berjaya jika pendidik berjaya mencetuskan perubahan sedemikian di kalangan mereka.

Budaya menanya dan bergaul dengan guru
Galakkan pelajar menanya dan berjumpa dengan guru untuk perbincangan sesuatu matapelajaran yang merek lemah; baik waktu rehat atau selepas sekolah bersurai merupakan suatu faktor yang mendorong pembelajaran pelajar. Waktu berjumpa pelajar boleh diatur khusus untuk perbincangan tambahan tentang apa yang telah diajar. Layankan pelajar sebagai kawan dan kurangkan jurang perbezaan sesama guru dan pelajar merupakan faktor yang dapat menjalinkan kemesraan bersama. Jika pelajar malu atau takut untuk bertanya, ia boleh disebabkan oleh cara kita melayan mereka yang kurang selesa.

Kemudahan sekolah yang lengkap
Jika pelajar datang dari golongan keluarga miskin, mereka perlukan bantuan buku mahupun peralatan lain. Usaha boleh dilakukan dengan mendapatkan tajaan syarikat atau PIBAGU (Persatuan Ibu Bapa Dan Guru) dalam usaha memberi bantuan buku rujukan dalam perpustakaan sekolah. Usaha menggalakkan pelajar menggunakan kemudahan perpustakaan merupakan suatu yang amat membina. Kelengkapan panduan pengajaran serta guru yang mencukupi juga secara terus mempengaruhi prestasi sesebuah sekolah.

Perhatian dari ibu bapa

Perhatian terhadap kebajikan dan pembangunan sekolah merupakan suatu dorongan kepada para guru untuk menjalankan tugasan mengajar dengan lebih bersungguh-sungguh. Kesedaran menghadiri mesyuarat PIBAGU mahupun aktviti utama sekolah, berjumpa dengan guru kaunseling atau gutu tingkatan merupakan antara yang boleh dilakukan. Kehadiran ibu bapa waktu hari guru merupakan suatu bentuk penghargaan terhadap pengorbanan sekolah terhadap kejayaan anak masing-masing. Biarpun tugasan mengajar dan mendidik pelajar merupakan suatu kewajipan sekolah, tetapi ini bukan bermakna ibu bapa tidak perlu menyertakan diri. Dengan mengetahui sebab sesuatu kejadian dan tidak terlalu memihak kepada anak akan memberi peluang kepada guru menjalankan denda atau teguran yangmembina untuk kebaikan seseorang pelajar. Dengan berbincang dengan pihak sekolah, ibu bapa juga mengetahui sebarang kekurangan sekolah dan perkembangan semasa yang penting untuk diberi perhatian. Galakan ibu bapa terhadap penyertaan anak secara langsung akan membentuk suatu kesan yang positif. Alasan sibuk kebelakangan ini menyebabkan kurangnya perhatian yang boleh diberi kepada anak. Suasana rumah yang positif akan membentuk suatu sokongan pada asas motivasi yang dibentukkan di sekolah.

Kesimpulan
Secara amnya, setiap institusi mempunyai cara yang tersendiri untuk mencorakkan suasana yang terbaik untuk para pelajar dan guru. Usaha melahirkan bakat dan kualiti kepimpinan pelajar merupakan suatu proses yang memerlukan penglibatan semua pihak. Tetapi , jika kita perhatikan kecemerlangan yang dicapai oleh sekolah berasrama pebuh, jelas menunjukkan perhatian yang menyeluruh dari pihak pendidik akan memberi suatu kesan yang amat mendalam pada pelajar. Kebebasan tanpa kawalan akan membuatkan pelajar leka dengan faktor "disiplin" dan buat apa yang mereka suka. Dengan itu, nilai-nilai yang murni perlu ditanam setiap masa untuk membolehkan pembangunan keperibadian, jasmani. emosi dan kerohanian perlu disebatikan sesama pembangunan pelajar yang seimbang sejajar dengan falsafah pendidikan negara. Lembaran ini hanya merupakan suatu rujukan dan bukan panduan lengkap dalam usaha membina kecemerlangan sekolah.