Halaman

Selasa, 18 Mei 2010

Pengujian, Pentaksiran dan Penilaian

1.0 PENGENALAN

Guru merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid. Guru bertanggungjawab menentukan hasil pembelajaran yang hendak ditaksir, diuji dan dinilai. Guru juga merancang dan membina instrumen penilaian, mentadbir ujian, merekod hasil penilaian, menganalisis maklumat, melapor dan menjalankan tindakan susulan yang perlu seperti aktiviti pengukuhan, pengayaan dan pemulihan.

Ujian ialah satu kaedah, tugas atau prosedur yang digunakan untuk memperoleh pemerhatian yang sistematik tentang sifat, atau trait seseorang berhubung dengan aspek pendidikan atau psikologi (Mokhtar Ismail, 1995). Ujian penting dalam memperlihatkan kejayaan atau kegagalan calon dalam sesuatu peperiksaan. Selain itu ujian juga berfungsi untuk memilih dan menempatkan calon dalam kumpulan pelajar tertentu serta mengenal pasti kelemahan-kelemahan pelajar.


Pentaksiran pembelajaran pelajar merupakan aktiviti yang penting dalam pendidikan. Kubiszyn dan Borich (1996) telah mentakrifkan pentaksiran pembelajaran pelajar sebagai suatu proses pengumpulan data-data pembelajaran pelajar untuk tujuan mengenalpasti masalah pembelajaran pelajar, serta untuk membuat keputusan mengenai pelajar. Shambaugh dan Magliaro (1997) pula menyatakan bahawa pentaksiran pembelajaran pelajar boleh dilaksanakan atas pelbagai tujuan, seperti untuk mengesan penguasaan pelajar, mengesan kemajuan, menentukan penempatan, mengesan kelemahan pelajar (diagnosis), memberi gred, membuat klasifikasi, pensijilan dan pemilihan.


Dalam pada itu, mereka berpendapat setiap tujuan pentaksiran pelajar perlu mempunyai kaedah pengukuran dan atribut yang sesuai untuk menghasilkan keputusan pentaksiran yang sahih serta boleh dipercayai. Pentaksiran untuk mengesan prestasi pembelajaran pelajar misalnya, apabila dilaksanakan dengan sahih dan betul boleh memberi manfaat kepada pelajar serta pengajar. Antara kebaikannya ialah pelajar dapat mengetahui kedudukan pencapaiannya dan akan berusaha untuk meningkatkan prestasi pembelajarannya secara kawalan kendiri. Guru juga boleh mengetahui prestasi pencapaian pelajarnya serta keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan ini guru dapat memperbaiki strategi penyampaian bahan-bahan pengajaran dan merancang tindakan susulan seperti menyediakan bahan-bahan pengayaan, pengukuhan atau bahan pemulihan yang bersesuaian dengan keadaan pelajar.



Rajah 1: Perkaitan antara Pengujian, Pentaksiran dan Penilaian


Oleh yang demikian, di dalam tugasan ini fokus perbincangan akan menjelaskan konsep pentaksiran, pengujian, dan penilaian berdasarkan teori Taksonomi Bloom dan Domain Krathwohl. Jenis-jenis ujian dan penilaian juga akan disentuh secara ringkas yang biasanya dijalankan dalam konteks dunia pendidikan khususnya berkait dengan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Selain itu, penghasilan JSU mengikut item objektif dan item subjektif Bahasa Malaysia sekolah rendah Tahap Dua dengan format peperiksaan terkini juga akan dijelaskan di dalam tugasan ini.



2.0 KONSEP PENTAKSIRAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN

2.1 Pentaksiran
Kini istilah “pentaksiran” mula digunakan dalam penilaian pencapaian. Popham (2000) menyatakan istilah-istilah pengukuran, pengujian dan pentaksiran digunakan secara silih berganti dan dianggap sebagai sinonim. Pentaksiran melibatkan proses membuat keputusan berdasarkan kepada suatu peraturan atau piawaian. Pentaksiran, yang merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran, merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran seseorang pelajar bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000). Hasil pentaksiran dinyatakan dalam bentuk skor. Skor mestilah sah dan boleh dipercayai untuk memastikan keadilan kepada pelajar dan juga untuk mengekalkan kewibawaan institusi pentaksiran.

2.1.1 Konsep

Satu proses untuk mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman tentang produk (murid) sesuatu proses pendidikan.

2.1.2 Tujuan

Proses mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam pembelajaran.Menilai aktiviti yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran.Mendapatkan maklumat secara berterusan tentang pengajaran dan pembelajaran.Memperbaiki pengajaran dan pembelajaran.

2.1.3 Ciri-ciri

Keobjektifan (ketepatan seseorang pemeriksa memeriksa skrip jawapan).Kebolehtadbiran (kelicinan dan kerja-kerja susulan yang dilaksanakan secara berpusat atau berasaskan sekolah).Kemudahtafsiran (maklumat tentang calon berdasarkan skor, mendiskriminasikan calon, menepati tujuan mengadakan sesuatu ujian dan pentaksiran).Kekomprehensifan (mengandungi soalan-soalan yang mewakili semua objektif yang penting).


2.2 Pengujian

Antara ketiga-tiga istilah berkenaan, pengujian selalunya dianggap mendukung maksud yang lebih sempit atau khusus. Pengujian dapat dianggap sebagai proses penyerahan set soalan yang piawai yang perlu dijawab, atau satu set instrumen bersama satu prosedur yang sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar. Menurut Cronbach (1970),
“Ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah
laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan bantuan skala bernombor, atau
satu sistem yang berkategori”.
Contoh skala bernombor ialah angka 30/100 untuk ujian penglihatan, 100/120 untuk ujian kecerdasan (IQ Test) dan 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains. Manakala contoh sistem berkategori pula ialah “ekstrovert” atau “introvert” bagi ujian personaliti, atau “rabun warna” bagi ujian penglihatan. Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar seperti yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros 1981, (dipetik dari Raminah, 1991) yang menegaskan bahawa:
“Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan
oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperoleh
daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan”. (Raminah
1991:2).

Hasil daripada pemarkahan jawapan pelajar, satu ukuran yang disebut sebagai “markah” akan diberikan kepada pelajar tersebut. Pengujian menjelaskan tahap berapa baiknya prestasi pelajar yang diuji. Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan/pentadbiran ujian dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui pengujian inilah seseorang guru mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah menguasai pengetahuan, kemahiran atau sikap yang ingin disampaikan guru.

Kesimpulannya, pengesanan hasil pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat melalui pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat, yang dilaksanakan guru dalam bilik darjah. Justeru, kecekapan guru membangunkan alat pengujian amat penting, malah sama pentingnya dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

2.2.1 Konsep
Satu teknik untuk mendapatkan maklumat secara objektif dan bersistem untuk mengukur perubahan tingkah laku individu.

2.2.2 Tujuan
Memperolehi maklumbals pengajaran dan pembelajaran. Memasukkan murid dalam kumpulan tertentu mengikut kriteria. Memilih murid untuk sesuatu tugas.
Mengkategorikan murid. Menyelidik pengajaran dan pembelajaran murid.

2.2.3 Pelaksanaan
• Pemerhatian
• Ujian bertulis
• Ujian lisan

2.3 Penilaian

Penilaian adalah konsep yang telah digunakan dalam pelbagai bidang. Penilaian dilakukan kerana mempunyai matlamat tersendiri. Dengan mengadakan penilaian, ia akan membolehkan kita membuat anggaran, sama ada matlamat yang telah ditetapkan itu tercapai atau sebaliknya. Penilaian juga dapat dianggap sebagai satu cara untuk mendapatkan bukti yang tepat tentang sesuatu perkara. Maklumat dan bukti ini amat penting dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Misalnya, dalam pendidikan, penilaian dapat menyelesaikan masalah tentang pencapaian matlamat yang ditetapkan, seperti menguasai kemahiran mendengar dan bertutur, membaca dan menulis Bahasa Malaysia di kalangan murid sekolah rendah. Dalam membuat penilaian, kita sering kali berhadapan dengan pelbagai masalah. Misalnya, tentang persoalan yang ingin diselesaikan, apakah bukti yang dianggapkan mencukupi atau bagaimana cara mendapatkan maklumat, siapa yang perlu mendapatkan maklumat dan sebagainya. Dengan memahami konsep pengujian, pentaksiran dan penilaian, guru akan dapat merancang langkah-langkah dengan lebih teratur dan sistematik bagi mendapatkan maklumat yang tepat. Banyak definisi telah diberikan kepada istilah “penilaian”.
"Penilaian boleh dianggap sebagai proses membuat pertimbangan atau keputusan dalam memberikan nilai, mutu, kualiti atau harga bagi sesuatu benda atau perkara. Stufflebeam et al. (1971:xxv) menyatakan penilaian sebagai “proses delineating, mencari dan memberikan maklumat yang berguna dalam mempertimbangkan alternatif-alternatif keputusan”.

Definisi ini melepasi maksud pengujian dan pentaksiran.
Gay (1985) berpendapat bahawa “penilaian ialah satu proses yang sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai”. Ini seterusnya membolehkan guru membuat pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran. Justeru, penilaian berbeza dengan pengukuran yang melibatkan hanya pemberian ukuran dalam bentuk nombor tertentu yang lebih bersifat kuantitatif. Sebelumnya, Popham (1975) menyatakan penilaian yang sistematik perlu mempunyai satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena pendidikan.

Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek hasil pengajaran dan pembelajaran dan juga hasil program pengajian berbanding matlamat asalnya. Dalam bilik darjah, apabila guru memberikan ujian, adakah guru berkenaan mengukur pencapaian pelajar atau menilai pencapaian pelajar? Dalam keadaan ini kita boleh mengatakan guru sebenarnya mengukur pencapaian pelajar melalui ujian yang dijalankan. Tindakan susulan guru ialah menilai ukuran pencapaian tersebut dengan menggunakan keputusan ujian itu bersama maklumat lain yang berkaitan. Selain menggunakan data kuantitatif, penilaian juga boleh dibuat dengan menggunakan data berbentuk kualitatif seperti yang diperoleh daripada pemerhatian atau temubual.

Justeru, penilaian boleh dibuat dengan menggunakan sama ada maklumat yang berbentuk kuantitatif, kualitatif atau kedua-duanya sekali. Dengan menggunakan maklumat kuantitatif, penilaian boleh dinyatakan dalam bentuk gred (seperti A, B, C, D atau E) bersama penjelasan nilainya (seperti cemerlang, kepujian, baik, lulus atau gagal). Sementara itu, penilaian yang menggunakan data kualitatif boleh dinyatakan dalam bentuk kualitatif juga, misalnya, Ali dapat melukis gambar kawannya dengan cepat, tepat dan bersih. Secara ringkasnya, penilaian meliputi tiga proses utama, iaitu menentukan ukuran, menganalisis ukuran dan menyatakan nilai/interpretasi ukuran.
Prosedur penilaian boleh dilaksanakan dalam lima peringkat seperti dalam Rajah 2 di bawah:


Rajah 2: Prosedur penilaian


Pentaksiran, pengujian dan penilaian yang dilaksanakan di sekolah adalah berdasarkan teori Taksonomi Bloom dan Domain Krathwohl.

Selasa, 27 April 2010

Budaya Sekolah Cemerlang

Budaya Sekolah Cemerlang
Adalah harapan setiap pendidik untuk mencorakkan budaya yang cemerlang di kalangan pelajarnya, baik dari institusi sekolah menengah mahupun pusat pengajian tinggi. Berbagai langkah telah dirancang oleh pihak sekolah, ibubapa dan pelajar sendiri dalam usaha mempertingkatkan imej dan status sekolah di samping menyediakan suasana pembelajaran yang positif. Saya berpendapat jika suasana sekolah dapat dipertingkatkan ke tahap yang terbaik, maka secara langsung ia akan membina suatu pasukan pelajar yang lebih komited dan bertanggungjawab; biarpun pada hakikatnta banyak lagi faktor lain seperti pengaruh masyarakat yang mempengaruhi perkembangan pelajar secara keseluruhan. Saya percaya idea sekolah cemerlang akan menjadi misi perjuangan setiap pendidik. Dengan itu, adalah diharapkan encik Hilter boleh menyenaraikan sifat dan pendekatan sekolah cemerlang untuk rujukan bersama.


Pelajar yang berdisiplin

Pelajar yang berkualiti dapat mengikut semua peraturan sekolah yang ditelah ditetapkan oleh sekolah. Tidak melakukan sesuatu yang dilarang atau sengaja mencorakkan sesuatu perbezaan kononnya diri lebih istimewa dari pelajar lain. Ini termasuk cara berpakaian, jenis kasut, bentuk rambut. Pelajar yang tidak sudi mematuhi peraturan sekolah bukan sahaja membawa imej yang kurang baik terhadap dirinya, tetapi juga secara langsung akan pengaruhi rakan-rakan lain. Setiap apa yang ditunjuk secara lahiriah juga akan memberi kesan kepada suasana dan kesan pembelajaran dirinya. Jika diri kita belajar dengan pakaian yang bersih dan kemas, "mood" juga akan baik dan lebih senang kita mengingati sesuatu yang kita baca. Sebaliknya jika diri kita belajar dengan suasana budaya pelajar yang tidak berakhlak, semangat diri kita juga akan menjadi layu. Guru perlulah tegas untuk memastikan setiap pelajar bersikap baik. Keupayaan membenteraskan sebarang aktiviti yang kurang baik dan digantikan dengan aktiviti yang bermanfaat merupakan langkah pertama ke arah budaya sekolah cemerlang. Peranan membetulkan sikap dan menanam nilai moral bukan sekadar guru pendidikan moral mahupun guru disiplin tetapi ia merupakan tanggungjawa semua guru.

Misi keunggulan
Biarpun pencapaian akademik bukan perjuangan mutlak seseorang pelajar, tetapi pencapaian peperiksaan sekolah merupakan gambaran am terhadap kecemerlangan sesebuah sekolah. Setiap pihak termasuk guru dan ibubapa perlu membentukkan mentaliti "terbaik" di kalangan pelajar. Yang dimaksudkan terbaik bukan bermakna mereka berjaya mengalahkan pelajar lain tetapi keupayaan mengejar keputusan yang paling baik untuk dirinya mengikut potensi dan kekuatan diri. Mentaliti 9A perlu ditanam agar mereka boleh mencurahkan usaha dengan lebih bersungguh-sungguh. Biarpun diri mereka gagal mencapai 9A, setidak-tidaknya mereka tidak berusaha memperjuangkan yang terbaik.

Kesedaran dan motivasi pelajar
Harapan untuk memasuki universiti dan pusat pengajian tinggi perlu ditanam di minda setiap pelajar. Bila kesedaran wujud bahawa apa yang mereka lakukan akan memberi kesan positif terhadap kebahagian hidup masa depan, pasti budaya belajar akan wujud. Sessi motivasi beberapa minit sebelum cikgu memulakan pengajaran dalam kelas akan memberi kesan yang amat baik jika ia diteruskan sepanjang tahun oleh semua guru. Setiap guru dan ibu bapa perlu sentiasa mendorong pelajar untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Cerita motivasi dan ayat-ayat hikmah boleh diberi agar pelajar dapat menghayati sesuatu idea motivasi dengan lebih berkesan. Sessi kesedaran pelajar juga boleh dikendalikan oleh kelab kaunseling dan bimbingan sewaktu perhimpunan. Kem ketahanan diri dan seminar motivasi merupakan aktiviti yang utama dan perlu diakerapkan jika kita hendakkan memperbaiki budaya sekolah.


Aktif dalam bidang sukan dan kokurikulum
Sekolah cemerlang juga menunjukkan pencapaian yang baik dalam aktiviti sukan. Kemudahan alatan sukan serta perhatian guru bertugas terhadap kebajikan pelajar dalam aspek ini merupakan antara dorongan pelajar untuk mengenengahkan bakat diri. Dalam kebanyakan masa, pelajar tidak berminat bukan bermakna mereka tidak mempunyai bakat untuk melakukannya. Dengan kata-kata dorongan dan pujukan dari cikgu, pelajar akan berjaya dalam sesuatu bidang yang sebelum ini tidak diberi perhatian. Guru yang dedikasi akan menganggap kejayaan pelajar sebagai kejayaan dirinya dan sentiasa memberi perhatian yang terbaik kepada mereka. Guru perlulah sentiasa membangun ketrampilan diri dalam bidang sukan mahupun kokorikulum yang mereka jaga. Dengan itu, pelajar dapat diberi bimbingan yang sebaik-baiknya. Adalah lebih baik jika setiap guru mempunyai semua seni sukan dan tidak membebankan beberapa orang guru yang "berbakat". Usaha memperbaiki diri dan mencari ilmu merupakan suatu proses yang berpanjangan. Sudah sampailah masa kita mencorakkan pasukan pendidik yang multi-kebolehan (di samping pengkhususan dalam bidang pengajaran tertentu) agar perhatian yang menyeluruh kepada perkembangan pelajar secara keseluruhan.

Persekitaran sekolah yang ceria
Suasana yang indah serta bersih pasti merupakan taman pembelajaran yang selesa dan baik. Pelajar digalakkan menjalankan aktiviti gotong-royong untuk membantu sekolah menghiasi serta membersihkan sekolah. Projek menyumbang bunga boleh diusahakan oleh pelajar , ibu bapa atau guru. Keceriaan dalam bilik darjah juga mempengaruhi psikologi pembelajaran pelajar. Ketua tingkatan perlu memimpin rakan sekelas dalam usaha menghiasi kelas masing-masing. Pertandingan kelas tercantik, terbersih dan terkotor akan mendorong setiap kelas membentuk budaya cemerlang dalam kelas. Ketua tingkatan perlu mendapatkan maklumat yang bernilai terhadap pembelajaran dari suratkhabar untuk dilekatkan pada papan kenyataan.

Kelas-kelas tambahan

Rekod telah menunjukkan sekolah yang sering mengadakan kelas tambahan untuk pelajar akan membentuk suatu menteliti "serius" terhadap sesuatu matapelajaran. Keputusan sekolah secara keseluruhan juga akan menjadi lebih baik. Ramai pelajar tidak mempunyai penumpuan yang menyeluruh dan kekurangan dorongan untuk mengulangkaji. Tetapi jika pihak guru menunjukkan komitmen serta dedikasi yang sepenuh hati untuk memberi yang perhatian terbaik kepada pelajar dengan mengadakan kelas-kelas tambahan, sudah pasti pelajar akan merasa kepentingannya. Pengorbanan cikgu dari segi masa dan tenaga tidak semestinya mendapat ganjaran yang sejajarnya mahupun penglibatan secara menyeluruh dari pelajar, tetapi usaha sedemikian adalah suatu yang positif untuk pembangunan kecemerlangan sekolah. Di samping itu, sessi menjawab soalan tahun lalu dan kumpulan belajar berkelompok waktu petang atau malam (sekolah berasrama) akan juga secara langsung membina kesungguhan dikalangan pelajar.

Ujian yang kerap
Bila pelajar diberi ujian yang kerap, diri mereka akan mula merasa cemas jika sesuatu tajuk yang akan dinilai belum lagi mereka baca. Ramai pelajar tidak dapat merasa kritikal terhadap peperiksaan PMR atau SPM. Jika sikap seperti ini berterusan , maka apa yang mereka tidak faham atau tidak ingat akan dibawa sehingga saat peperiksaan akhir tahun dan dapati dirinya dalam keadaan yang tertekan.
Dengan mengadakan ujian mingguan atau bulanan, pelajar akan lebih terdorong untuk mengisi setiap detik wakti sekolah untuk mengulangkaji. Waktu menunggu loceng sekolah, waktu rehat dan waktu menunggu kehadiran cikgu merupakan masa yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar jika mereka diberi ujian. Adalah suatu hakikat pelajar yang malas dan tidak mengulangkaji boleh dibangun dari lamunan mimpi mereka jika budaya membaca disekolah dipertingkatkan.

Budaya membaca di kawasan sekolah
Slogan diri yang saya sering pegang sewaktu diri di sekolah menengah dahulu ialah, "banyak membaca , kurang bercakap". Tetapi slogan ini tidaklah berkesan pada segelintir pelajar yang tidak mempunyai kecenderungan dalam pelajaran. Dengan adanya budaya membaca dan mengulangkaji, harapnya pelajar akan mula sedarkan diri. Budaya pelajar "memegang buku rujukan" setiap masa mereka dalam kawasan sekolah akan memberi suatu kesan yang positif terhadap keputusan pelajar. Daripada membuang masa berborak kosong atau bermain bola selama berjam-jam di bawah matahari terik, pelajar yang cemerlang menggunakan masa lapangnya dengan membaca.

Sering adakan pertandingan
Pertandingan boleh diadakan pada dalam kelas mahupun antara tingkatan atau antara persatuan. Tujuan pertandingan ialah untuk mengasah bakat serta mengenengahkan sesuatu kepakaran pelajar yang sekian lama terpendam. Antara pertandingan termasuklah pertandingan pementasan, menyanyi, bermain alatan musik, syarahan , perbahasan, sukan, merentas desa dan sebagainya. Pelajar digalakkan menyertakan diri biarpun mereka tidak mempunyai kebolehan untuk melakukannya. Pelajar cemerlang juga dikaitkan dengan keupayaan serba boleh.

Wawasankan pelajar akan berjaya

Pihak pendidik yang mempunyai harapan bahawa setiap individu pelajar akan berjaya suatu masa merupakan suatu pendorong untuk terus membimbing mereka; biarpun pada hakikatnya berhadapan dengan berbagai tekanan yang negatif. Contohnya, pelajar yang degil dan tidak berakhlah juga memerlukan perhatian dan penghotmatan sebagai seorang "manusia". Daripada kita terus melepaskan tangan dan menyatakan bahawa pelajar tersebut memang tidak boleh diubati, pendidik yang dedikasi masih juga cuba untuk membantunya. Asuhkan dan betulkan sikap yang kurang baik tetapi sebaliknya masih menjunjung maruah dan keperibadian dirinya. Seseorang yang nakal mungkin akan menjadi seorang yang sangat berjaya jika pendidik berjaya mencetuskan perubahan sedemikian di kalangan mereka.

Budaya menanya dan bergaul dengan guru
Galakkan pelajar menanya dan berjumpa dengan guru untuk perbincangan sesuatu matapelajaran yang merek lemah; baik waktu rehat atau selepas sekolah bersurai merupakan suatu faktor yang mendorong pembelajaran pelajar. Waktu berjumpa pelajar boleh diatur khusus untuk perbincangan tambahan tentang apa yang telah diajar. Layankan pelajar sebagai kawan dan kurangkan jurang perbezaan sesama guru dan pelajar merupakan faktor yang dapat menjalinkan kemesraan bersama. Jika pelajar malu atau takut untuk bertanya, ia boleh disebabkan oleh cara kita melayan mereka yang kurang selesa.

Kemudahan sekolah yang lengkap
Jika pelajar datang dari golongan keluarga miskin, mereka perlukan bantuan buku mahupun peralatan lain. Usaha boleh dilakukan dengan mendapatkan tajaan syarikat atau PIBAGU (Persatuan Ibu Bapa Dan Guru) dalam usaha memberi bantuan buku rujukan dalam perpustakaan sekolah. Usaha menggalakkan pelajar menggunakan kemudahan perpustakaan merupakan suatu yang amat membina. Kelengkapan panduan pengajaran serta guru yang mencukupi juga secara terus mempengaruhi prestasi sesebuah sekolah.

Perhatian dari ibu bapa

Perhatian terhadap kebajikan dan pembangunan sekolah merupakan suatu dorongan kepada para guru untuk menjalankan tugasan mengajar dengan lebih bersungguh-sungguh. Kesedaran menghadiri mesyuarat PIBAGU mahupun aktviti utama sekolah, berjumpa dengan guru kaunseling atau gutu tingkatan merupakan antara yang boleh dilakukan. Kehadiran ibu bapa waktu hari guru merupakan suatu bentuk penghargaan terhadap pengorbanan sekolah terhadap kejayaan anak masing-masing. Biarpun tugasan mengajar dan mendidik pelajar merupakan suatu kewajipan sekolah, tetapi ini bukan bermakna ibu bapa tidak perlu menyertakan diri. Dengan mengetahui sebab sesuatu kejadian dan tidak terlalu memihak kepada anak akan memberi peluang kepada guru menjalankan denda atau teguran yangmembina untuk kebaikan seseorang pelajar. Dengan berbincang dengan pihak sekolah, ibu bapa juga mengetahui sebarang kekurangan sekolah dan perkembangan semasa yang penting untuk diberi perhatian. Galakan ibu bapa terhadap penyertaan anak secara langsung akan membentuk suatu kesan yang positif. Alasan sibuk kebelakangan ini menyebabkan kurangnya perhatian yang boleh diberi kepada anak. Suasana rumah yang positif akan membentuk suatu sokongan pada asas motivasi yang dibentukkan di sekolah.

Kesimpulan
Secara amnya, setiap institusi mempunyai cara yang tersendiri untuk mencorakkan suasana yang terbaik untuk para pelajar dan guru. Usaha melahirkan bakat dan kualiti kepimpinan pelajar merupakan suatu proses yang memerlukan penglibatan semua pihak. Tetapi , jika kita perhatikan kecemerlangan yang dicapai oleh sekolah berasrama pebuh, jelas menunjukkan perhatian yang menyeluruh dari pihak pendidik akan memberi suatu kesan yang amat mendalam pada pelajar. Kebebasan tanpa kawalan akan membuatkan pelajar leka dengan faktor "disiplin" dan buat apa yang mereka suka. Dengan itu, nilai-nilai yang murni perlu ditanam setiap masa untuk membolehkan pembangunan keperibadian, jasmani. emosi dan kerohanian perlu disebatikan sesama pembangunan pelajar yang seimbang sejajar dengan falsafah pendidikan negara. Lembaran ini hanya merupakan suatu rujukan dan bukan panduan lengkap dalam usaha membina kecemerlangan sekolah.

Jumaat, 19 Mac 2010

Menu Pelbagai Kecerdasan

Dalam merancang aktiviti pembelajaran, guru boleh memikirkan apakah kecerdasan yang sesuai dengan konsep serta isi kandungan. Linda Campbell (lindacam@premier1.net) mencadangkan beberapa aktiviti dalam bentuk menu pengajaran dan pembelajaran yang boleh dijadikan panduan dalam rancangan mengajar.
Selain itu, guru boleh menggunakan menu itu untuk merancang kerja rumah pelajar dan pelajar diberi kebebasan untuk memilih kaedah-kaedah yang digemari untuk mempelajari sesuatu tajuk.

Menu Kecerdasan
Linguistik
Lojik-Matematik
Kinestetik
Visual
Muzik
Interpersonal
Intrapersonal
Naturalis

Menu Linguistik

Gunakan kaedah bercerita untuk menerangkan ...

Langsungkan perbahasan tentang ...

Karangkan sajak, mitos, legenda, berita, rencana mengenai ...

Ciptakan program "radio talk show" tentang ...

Lakukan temubual dengan ... tentang ...

Menu Lojik-Matematik

Terjemahkan ... dalam bentuk rumus matematik

Reka dan jalankan suatu ujikaji tentang ...

Buat suatu "syllogisms" untuk mendemostrasikan ...

Ciptakan sesuatu analogi untuk menjelaskan ...

Huraikan corak atau simetri dalam ...

Menu Kinestetik

Lakukan gerakan atau suatu siri gerakan untuk menjelaskan ...

Reka tugasan atau kad teka-teki untuk ...

Bina atau konstruk ...

Rancang dan jalankan suatu lawatan lapangan untuk ...

Bawa bahan-bahan amali untuk menunjukkan ...

Menu Visual

Mencarta, memeta, menggugus, menggambar ...

Cipta tayangan slaid, pita video, atau album gambar tentang ...

Reka sesuatu bahan seni untuk mendemostrasikan ...

Bina permainan papan atau kad untuk menunjukkan ...

Rajahkan, lukiskan, lakarkan, ukir atau pahatkan ...

Menu Muzik

Buat persembahan dengan diiringi oleh muzik tentang ...

Nyanyikan rap atau lagu untuk menjelaskan ...

Tunjukkan corak ritma dalam ...

Jelaskan persamaan muzik dalam sebuah lagu dengan ...

Buat suatu alat muzik dan gunakannya untuk menunjukkan ...

Menu Interpersonal

Adakan mesyuarat untuk ...

Dengan sengajanya, gunakan kamahiran sosial untuk mempelajari ...

Libatkan diri dalam projek khidmat untuk ...

Ajar rakan anda tentang ...

Berlatih memberi dan menerima maklum balas tentang ...

Gunakan teknologi untuk ...

Menu Intrapersonal

Huraikan ciri-ciri diri yang membantu anda menjayakan ...

Tetapkan sesuatu matlamat dan berusaha mencapainya

Huraikan salah satu nilai peribadi tentang ...

Tulis jurnal tentang ...

Nilaikan kerja-kerja sendiri dari segi ...

Menu Naturalis

Ciptakan buku nota pemerhatian tentang ...

Huraikan perubahan dalam persekitaran tempatan atau global

Peliharakan haiwan perliharaan, taman bunga atau taman rekreasi.

Gunakan teropong, mikroskop dan kantu pembesar untuk ...

Kepentingan Pendidikan Seni

Kurikulum Pendidikan Seni melibatkan perasaan estetik, daya kreatif pelajar melalui penjanaan daya intuisi, persepsi dan konsepsi, juga boleh mewujudkan rasa kepuasan dan kesedaran terhadap bakat serta kemampuan diri pelajar. Pelajar yang mengikuti program Pendidikan Seni akan menjadi lebih peka dan perasa, bersikap sederhana dan mampu mengamalkan pertimbangan kesenian dan kesempurnaan dalam mengendalikan kehidupan. Pendidikan Seni juga mampu meningkatkan kualiti berfikir . Pengetahuan dan kemahiran Pendidikan Seni melalui penjanaan idea, penerokaan unsur, inkuiri, integrasi maklumat serta idea, pengolahan simbol nyata atau abstrak dan melihat sesuatu dari pelbagai perspektif, menjanjikan satu peningkatan kualiti berfikir serta bertindak secara rasional dan fleksibel.

Pendidikan Seni merupakan satu disiplin yang merentas kurikulum dan boleh dikatakan sebagai asas kepada mata pelajaran lain. Pelajar yang didedahkan dengan Pendidikan Seni berasa lebih senang dan yakin apabila berdepan dengan tugasan dalam mata pelajaran lain terutamanya yang melibatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Kefahaman menerusi visual tentunya lebih mudah daripada penghafalan fakta menerusi catatan berjela. Peta minda yang digrafikkan secara mudah lebih berkesan untuk menyatakan sesuatu konsep atau penerangan yang sukar. Prinsip dalam Pendidikan Seni berupaya memenuhi tuntutan dalam masalah ini.

Pendidikan Seni juga selari dengan konsep pembelajaran seumur hidup (learning throughout life) yang dikatakan sebagai salah satu syarat untuk menghadapi dunia abad ke-21. Pendidikan Seni merupakan satu disiplin yang mengaplikasikan ilmu dengan kemahiran. Pelajar belajar melalui tindakan membuat (learning by doing), yang kemudiannya kelak dapat dilanjutkan kepada learning to be dan learning to live together, apabila tiba masanya untuk berada dalam masyarakat dan pasaran kerja. Asas ini dibina dalam pengajaran Pendidikan Seni terutamanya dalam membentuk pemikiran tinggi. Sebagai contoh awal, proses mereka bentuk dalam Pendidikan Seni, melibatkan pelajar melalui beberapa proses berfikir dan bertindak seperti : Pengenalpastian masalah
Menentukan keperluan, lakaran situasi atau masalah. Penjelasan tentang perkara utama dan limitasi serta persolan yang sepatutnya dapat dijelaskan. Kajian dan Penyelidikan
Aspek persekitaran, ergonomik, masa, faktor keselamatan, kekuatan, bentuk, bahan, kos dan pembuatan serta pelbagai sumber.
Idea dan cara penyelesaian – dilakukan secara lakaran beberapa idea dan penyelesaiannya.
Perkembangan – memperincikan idea bersama lakaran dan huraian. Bekerja dengan idea yang telah dikenal pasti bagaimana bahagian-bahagian dipasang (kalau ia model). Mungkin carta aktiviti atau carta produksi diperlukan pada peringkat ini. Foto atau lakaran visual yang menampakkan pelbagai persepsi juga boleh membayangkan kegiatan seterusnya menjadi lebih jelas.
Proses membuat.
Proses dan teknik.
Percubaan dan Penilaian Membandingkan spesifikasi asal dengan senarai fungsi. Mencatat sebarang masalah yang timbul sepanjang kegiatan.
Mencuba. Membuat rumusan.
Apabila melihat proses mereka bentuk yang disenaraikan, nyatalah bahawa Pendidikan Seni mementingkan aplikasi ilmu dengan kemahiran. Dalam proses tersebut juga, inovasi teknologi yang merangkumi tiga tahap digabungkan. Gabungan tersebut ialah idea yang kreatif, aplikasi secara praktikal dan penerimaannya terhadap masyarakat. Ini dikaitkan dengan maksud kreatif yang menekankan sesuatu yang unik, baru dan bermakna, dalam konteks norma kita sendiri.

Melalui informasi teknologi dalam Pendidikan Seni, idea yang banyak dapat dilahirkan dan pelbagai. Ini akan membantu pelajar menghasilkan ciptaan terbaru dengan mudah, tepat, cepat, dan menarik. Namun, sebagai suatu disiplin yang mengutamakan daya imaginasi dan kreativiti ketika pembentukan konsep dalam minda, yang harus dijelmakan dalam bentuk visual secara manual, pelajar tidaklah diketepikan ilmu untuk mendapatkan kemahiran tertentu dan sebaliknya hanya menggunakan teknologi moden seperti komputer melakukan segala-galanya. Komputer, dalam hal ini adalah sebagai tool atau kadang-kadang sebagai tutee bagi memudahkan cara melaksanakan kegiatan Pendidikan Seni. Banyak pakar yang berpendapat bahawa pendidikan yang berkesan sepatutnya dilakukan secara bersepadu, sama ada dengan memenuhi tuntutan pelajar melalui ikutan, analisis logik, kemahiran mengaplikasi ilmu seni, dan sebagainya.

Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang mengarah kepada suasana riang dan ria serta mengundang minat pelajar akan membangkitkan semangat ingin melakukan sebarang kegiatan pembelajaran dengan baik. Penyelesaian masalah merupakan satu kaedah yang berkesan dalam Pendidikan Seni kerana ia bukan sahaja melibatkan tingkah laku ingin tahu pelajar tetapi juga berkait dengan perasaan pelajar yang menjurus kepada Learning is fun.

Konsep pengajaran bersepadu dalam Pendidikan Seni telah diperjelaskan dalam Sukatan Pelajaran yang dapat disimpulkan bahawa ia merangkumi domain yang dihasrat secara bersepadu melalui pendekatan yang terancang. Pendekatan yang terancang dan terarah ini berteraskan objektif pencapaian iaitu, ekspresi kreatif, penggubahan, penghasilan dan persembahan, persepsi estetik, pertimbangan estetik, warisan budaya kraf, dan seni tampak. Justeru, Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang terkandung hasrat murni di dalamnya dapat direalisasikan melalui subjek Pendidikan Seni.

Kemahiran Bertutur

“Kegiatan melafazkan bunyi yang dilahirkan daripada alat sebutan (artikulator) manusia. Ia juga merupakan kemahiran berinteraksi menggunakan bahasa.
TUJUAN
GURU- Dapat memperbaiki kelemahan yang dimiliki oleh pelajar.
- Dapat menjadi pencetus dan mampu memberikan intrepretasi yang betul.
- Mengesan dan mengasuh pelajar supaya mahir dalam sebutan, boleh menggunakan nada (tone) dan intonasi yang betul dan lancar serta fasih dalam berbahasa.
MURID- Murid dapat membezakan di antara sebutan dan intonasi yang betul dan sesuai dengan yang tidak betul dan kurang sesuai.
- Dapat mengesan perbezaan makna yang dibawakan oleh intonasi yang berbeza walaupun menggunakan perkataan atau frasa yang sama tetapi dalam konteks yang berlainan.
KONSEP
a) Pertuturan merupakan gabungan bunyi-bunyi bahasa yang dilafazkan.
b) Pertuturan berlaku di peringkat productive level. Ia berlaku setelah si penutur dapat mendengar dan memahami dengan baik apa yang didengarnya.
c) Individu lebih banyak belajar bertutur melalui pengalaman daripada melalui kecerdasan otaknya.
d) Aspek fizikal, kesihatan, persekitaran dan jantina noleh mempengaruhi kemahiran bertutur.
e) Pertuturan yang dapat dikuasai dengan baik akan menghasilkan tabiat berbahasa yang baik. Tabiat berbahasa yang baik itu pula akan membolehkan penghasilan interaksi dengan baik juga.
f) Pertuturan yang baik boleh dikuasai dengan memberi tumpuan kepada aspek fonologi, struktur, intonasi penguasaan sistem bunyi.
ASPEK2 PERTUTURAN YANG PERLU DIBERI PERHATIAN
a) Sebutan- murid2 telah diajar dan dilatih mengenal huruf dan bunyi setiap huruf, suku kata, perkataan, rangkai kata dan ayat.- Semua ini bertujuan untuk melatih murid2 supaya dapat menyebut sesuatu dengan tepat dan seperti yang sepatutnya mengikut bunyi, ejaan dan makna.
b) Tekanan- Satu cara menyebut perkataan, frasa atau ayat dengan memberikan tekanan pada tempat2 tertentu.- Biasanya dilakukan pada suku kata.- Bertujuan untuk menandakan keras atau lembut sesuatu pengucapan itu.- Lambangnya ialah /?/.- Dalam BM, tekanan tidak membezakan makna dan digunakan untuk menyedapkan ayat sahaja seperti dalam sajak.
c) Panjang-pendek (Mora)(Harakat)- Kadar sesuatu bunyi itu diucapkan- Lambangnya ialah [:] , [::] adalah 2 mora , [.] adalah setengah mora.
d) Kefasihan- boleh bercakap dan membunyikan kata dalam bentuk yang kemas, teratur, lancar, tepat dan jelas.
e) Laras bahasa- kemampuan mengguankan bahasa dalam pelbagai konteks, suasana, atau situasi yang sesuai- melatih pelajar menggunakan bahasamengikut larasnya.- Bertujuan untuk berkomunikasi.-
Fungsi komunikasi:o Bahasa meminta izino Bahasa meminta maafo Bahasa untuk menyatakan perasaano Bahasa untuk mengemukan pendapat atau pandangano Bahasa untuk bertanya atau menyoal utk mendapatkan maklumato Bahasa untuk menidakkan dan sebagainya.o Bahasa yang sesuai mengikut keadaan seperti dengan guru, ibu bapa, rakan2, di kedai, di majlis rasmi.